ingat tak kisah anak tinggal kan emaknye di hotel bajet??
meh ikuti kisah nye lagi...
heee! dah macam wartawan ko ni kan :)
KUALA SELANGOR: “Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya,” kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.
Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.
Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.
“Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam.
Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.
Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.
Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.
Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.
Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.
Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.
“Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya,” katanya.
Sumber: METRO
No comments:
Post a Comment